PENJELASAN: Skandal dana 'Keluarga Malaysia', kaitannya dengan bekas PM Ismail Sabri
2025.03.04
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula pada Rabu ini bagi membantu siasatan setelah beliau dianggap sebagai suspek kes rasuah berhubung dana kerajaan yang digunakan bagi tujuan publisiti program penjenamaan “Keluarga Malaysia” semasa pentadbirannya.
Penganalisis berpendapat pendedahan tentang kes melibatkan bekas perdana menteri itu menyerlahkan masalah rasuah yang sistemik di negara ini.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin mengesahkan penemuan hampir RM177 juta (AS$ $39.6 juta) wang tunai dan jongkong emas hasil serbuan di Lembah Klang yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu.
"Ekoran penemuan wang tunai sebelum ini, SPRM akan mengambil rakaman percakapan semula ataupun tambahan daripada Ismail Sabri bergantung kepada tahap kesihatan beliau dan dijangka akan dibuat pada Rabu.
"Rakaman percakapan itu akan berkisar tentang pengisytiharan harta beliau dan berhubung kes yang disiasat ini," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada sidang media di Putrajaya.
Ahli Parlimen Bera itu juga telah mengisytiharkan asetnya secara terperinci pada 10 Februari susulan arahan rasmi SPRM, kata beliau.
Ismail Sabri kemudiannya disoal siasat selama lebih empat jam pada 19 Februari.
Sebelum ini, beliau dimasukkan ke hospital setelah rebah dipercayai akibat masalah tekanan darah tinggi, sehari sebelum beberapa bekas pegawai kanannya ditahan SPRM pada 23 Februari lalu.
“Ya, beliau dianggap sebagai suspek kerana beliau dikehendaki mengisytiharkan asetnya secara terperinci. Kedua, sejumlah besar wang telah ditemui berkaitan dengannya dan kami memerlukan penjelasannya,” kata Azam lagi.
SPRM buat kali pertama menyoal siasat Ismail Sabri pada Januari 2023 sebagai sebahagian daripada siasatan kemungkinan terdapat salah guna dana kerajaan berjumlah RM700 juta (AS$$157 juta) yang diperuntukkan untuk pengiklanan, promosi dan publisiti.
Pihak berkuasa kini sedang meneliti bagaimana dana tersebut digunakan di bawah pentadbirannya, dengan 31 individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, kata laporan media tempatan.

Siapa Ismail Sabri?
Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ke-9 dan memegang jawatan paling singkat iaitu hanya 15 bulan dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri daripada UMNO yang memerintah tanpa mandat pilihan raya, setelah mengambil alih jawatan susulan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang semasa pandemik COVID-19.
Pentadbiran Ismail Sabri memperkenalkan kempen “Keluarga Malaysia” yang bertujuan untuk memupuk perpaduan pelbagai kaum selepas pandemik.
Apa maksud ‘Keluarga Malaysia’?
‘Keluarga Malaysia’ adalah slogan pentadbiran Ismail Sabri yang digunakan sebagai kempen perpaduan nasional, menurut penganalisis.
“Setiap Perdana Menteri baru mempunyai tagline,” kata James Chin, seorang penganalisis politik di Universiti Tasmania kepada BenarNews.
“Keluarga Malaysia Ismail Sabri hanyalah satu slogan bagi program di bawah pentadbirannya.”
Ketika melancarkan kempen itu pada 2021, Ismail Sabri berkata slogan tersebut bertujuan untuk mempromosikan keterangkuman “melangkaui agama, kaum, dan etnik.”
Beliau berkata tema itu menonjolkan “keterbukaan rakyat Malaysia terhadap kepelbagaian, berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.”
Setahun kemudian, sejumlah lebih RM62 juta (AS$13.88 juta) dilaporkan telah dibelanjakan untuk menjenamakan pentadbiran beliau dengan slogan tersebut.

Apa yang SPRM temui?
Siasatan terhadap dana Keluarga Malaysia yang bermula dua tahun lalu telah membawa penyiasat ke beberapa ‘rumah selamat’ yang dikaitkan dengan Ismail Sabri, di mana mereka menemui RM177 juta wang tunai pelbagai wang asing termasuk RM14 juta (AS$3.13 juta) dalam mata wang ringgit Malaysia.
Agensi anti-rasuah itu turut merampas 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta (AS$1.57 juta).
Menurut Azam, mata wang asing yang dirampas termasuk yen Jepun, pound British, euro, dolar Singapura, dolar Amerika Syarikat dan dirham UAE.
Siapa lagi telah ditahan dan menjadi suspek?
Setakat ini, empat individu yang dipercayai bekas pegawai kanan Ismail Sabri telah ditahan selepas penemuan dokumen kewangan yang dikaitkan dengan penyelewengan dana publisiti itu.
Pihak berkuasa juga telah membekukan 13 akaun bank bernilai RM2 juta (AS$448,000) namun ia tidak melibatkan akaun peribadi Ismail Sabri dan akaun Yayasan Keluarga Malaysia yang masih aktif hingga kini, kata Azam.
Siasatan terhadap perbelanjaan program Keluarga Malaysia masih diteruskan dengan kira-kira 10 lagi saksi dijangka dipanggil.
BenarNews telah menghubungi wakil Ismail Sabri untuk mendapatkan ulasan tetapi belum menerima sebarang maklum balas.
Bekas PM keempat dikaitkan dengan kes rasuah, apa maksudnya?
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap Ismail Sabri bermotifkan politik.
“Tiada arahan daripada mana-mana pihak. Kami bertindak semata-mata berdasarkan aduan dan maklumat yang dikumpulkan,” katanya.
Jika didakwa, Ismail Sabri akan menjadi bekas Perdana Menteri keempat yang dikaitkan dengan kes rasuah, selepas Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad.
Najib menjalani hukuman penjara sejak Ogos 2022 atas kes rasuah berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau yang diberikan pengampunan diraja dipendekkan hukuman penjara kepada enam tahun masih menghadapi perbicaraan atas tuduhan lain berkaitan dengan skandal itu.
Muhyiddin pula telah didakwa atas penyalahgunaan kuasa berkaitan program Jana Wibawa, program rangsangan ekonomi ketika pandemik, tetapi pertuduhan itu digugurkan sebelum Mahkamah Rayuan Malaysia mengembalikan semulanya.
Penganalisis politik dari BowerGroupAsia, Ahmad Mohsein Azman berkata kes-kes tersebut menyerlahkan masalah rasuah yang sistemik di negara ini.
“Tidak salah untuk mengaitkan pendedahan terbaru tentang kes rasuah dalam kalangan elit politik Malaysia dengan satu kebobrokan sistemik, berdasarkan berita yang kita terima tentang kes-kes rasuah ini,” kata Ahmad Mohsein kepada BenarNews.
Namun, beliau juga menegaskan bahawa sasaran politik masih menjadi kebimbangan, kerana “kes-kes sebegini sering ditimbulkan terhadap pemimpin pembangkang daripada pentadbiran terdahulu.”
Walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji untuk memerangi gejala rasuah tanpa mengira parti politik, pengkritik berpendapat bahawa pemimpin pembangkang lebih kerap menjadi sasaran.
Jika didakwa, adakah kes ini kukuh?
Walaupun belum jelas sama ada Ismail Sabri akan didakwa atas penyalahgunaan dana awam dan pengubahan wang haram, Ahmad Mohsein berkata kes ini masih belum konklusif.
“Fakta kes masih belum dijelaskan sepenuhnya walaupun ia berkaitan dengan kempen 'Keluarga Malaysia',” katanya, sambil menambah bahawa kuasa penyiasatan SPRM yang luas masih boleh mengaitkan beliau sekiranya terdapat “percanggahan dalam pengisytiharan asetnya.”
Sementara itu, penganalisis James Chin menyatakan sebahagian besar masyarakat awam memberikan sokongan terhadap siasatan rasuah berprofil tinggi.
“Kebanyakan rakyat Malaysia gembira kerana rasuah di peringkat tertinggi sedang disiasat,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa “siasatan dan mendapatkan sabitan adalah dua perkara yang berbeza.”