Anwar, Paetongtarn sepakat bantu rundingan damai Selatan Thailand

Kumpulan pemisah pula sangsi dengan pentadbiran semasa Bangkok yang dilihat tidak mempunyai dasar jelas berkaitan konflik di wilayah sempadan selatan itu.
Farhana Farush dan Nontarat Phaicharoen
2024.12.16
Kuala Lumpur dan Bangkok
Anwar, Paetongtarn sepakat bantu rundingan damai Selatan Thailand Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatan Paetongtarn Shinawatra bercakap pada sidang media selepas mengadakan Rundingan Tahunan ke-7 di Putrajaya, 16 Disember 2024.
[Ihsan Pejabat Perdana Menteri]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam siri pertemuan dengan rakan sejawatan Paetongtarn Shinawatra pada Isnin menyatakan komitmen untuk membantu usaha menyelesaikan konflik di Selatan Thailand yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Dalam pada itu, kumpulan pemisah utama di Selatan Thailand - Barisan Revolusi Nasional (BRN) dalam satu kenyataan meluahkan rasa kecewa dengan cara kerajaan baharu Thailand mengendalikan isu tersebut yang dilihat sebagai tidak serius.

“Saya telah berkali-kali memberi jaminan kepada para pemimpin Thailand, dahulu dan sekarang bahawa kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan proses dialog dengan wilayah sempadan Selatan Thailand berjaya dilaksanakan.

“Ini bagi mencapai rancangan komprehensif bersama ke arah keamanan. Seperti yang telah dipersetujui, keamanan harus diiringi dengan pembangunan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat,” kata Anwar pada sidang media bersama Paetongtarn selepas mengadakan Rundingan Tahunan ke-7 di Putrajaya.

Paetongtarn dalam rangka lawatan rasmi pertama selama dua hari ke Malaysia selepas dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos lalu.

Beliau yang merupakan anak bungsu bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra menggantikan Srettha Thavisin yang disingkirkan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand.

Paetongtarn juga merupakan ahli ketiga keluarga Shinawatra yang memegang jawatan politik tertinggi Thailand – bapanya dan ibu saudaranya, Yingluck - kedua-duanya disingkirkan oleh rampasan kuasa tentera.

Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan kemajuan positif dalam proses dialog keamanan yang sedang berlangsung di wilayah sempadan Selatan Thailand serta usaha membangunkan Pelan Komprehensif Bersama ke arah Keamanan (JCPP) sebagai pelan tindakan untuk mewujudkan suasana kondusif bagi keamanan.

“Malaysia komited untuk memudahcarakan dialog keamanan Selatan Thailand,” katanya.

Selain keamanan, beliau turut menekankan tentang kepentingan pembangunan di Selatan Thailand dan Utara Semenanjung Malaysia kerana wilayah-wilayah itu memerlukan fokus tambahan terhadap pelaburan.

Selatan Thailand terdiri daripada wilayah penduduk majoriti Islam iaitu Pattani, Narathiwat, Yala dan empat daerah dalam wilayah Songkhla. Seramai 7,344 orang telah terbunuh dan lebih 13,600 tercedera dalam keganasan di wilayah itu sejak dua dekad lalu, menurut laporan organisasi bukan kerajaan Deep South Watch.

Pemberontakan bermula semula pada awal 2004 selepas konflik mereda sejak tahun 1990-an apabila sebuah kem tentera diceroboh anggota pemberontak. Ratusan senjata dilarikan sekali gus mencetuskan api pemberontakan yang lebih marak.

Rundingan damai antara kerajaan Thai dan kumpulan pemisah bermula 2013 tetapi telah mencapai kemajuan yang perlahan dan kecil, di tengah-tengah pelbagai perubahan kerajaan.

Dialog semasa yang bermula pada 2020 melibatkan rundingan langsung yang dibantu Malaysia sebagai orang tengah antara wakil Thai dan BRN, kumpulan pemisah paling berkuasa di wilayah itu.

241216-MY-Msia-Thai2.jpg

Perunding dan delegasi yang mewakili kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional termasuk pemimpinnya Anas Abdulrahman (tengah) menyertai sidang media di Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dua hari dengan kerajaan Thailand, 7 Februari 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Dasar Bangkok tidak jelas

Sebelum pertemuan dua hala pemimpin tertinggi kedua negara jiran itu, BRN telah mengeluarkan kenyataan tegas yang mengkritik pendekatan kerajaan Thailand terhadap konflik tersebut.

“Kerajaan Thai tidak konsisten dalam mencari solusi perdamaian… Kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri Paetongtarn selama beberapa bulan ini belum juga ada kejelasan sikap, polisi, perhatian dan tidak ambil berat terhadap isu konflik di Pattani (wilayah selatan)

“Ini amat mengecewakan bagi semua pihak terutama kepada seluruh komuniti Pattani yang telah sekian lama hidup dalam keadaan tidak normal, kekangan dari undang-undang yang bersifat kuku besi, menjalani kehidupan harian dalam keadaan terancam serta penindasan dan pelanggaran terhadap nilai-nilai hak asasi manusia,” kata sekretariat BRN dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu itu.

Kumpulan pemisah itu memberi amaran bahawa sikap pasif, cuai dan tiada kesungguhan kerajaan Thailand dalam mencari penyelesaian boleh mencetuskan aksi perlawanan yang tidak terkawal daripada penduduk Pattani.

Komitmen pulihkan keamanan

Paetongtarn pada sidang media bersama Anwar itu turut menegaskan akan komitmen Thailand untuk memulihkan keamanan dan keselamatan melalui dialog.

“Kami berharap proses dialog damai dapat disambung semula secepat mungkin selepas pelantikan ketua perunding baharu Thailand,” katanya kepada wartawan.

Dalam kenyataan bersama, Paetongtarn menyampaikan penghargaan kepada Anwar atas peranan Malaysia yang ikhlas dan konstruktif dalam memudahcara proses tersebut selain menegaskan kembali usaha kerajaan Thailand untuk mencari penyelesaian berkesan ke arah keamanan yang mampan dan inklusif di wilayah sempadan selatan.

241216-MY-Msia-Thai3.jpg

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperkenalkan barisan menteri Kabinet Malaysia kepada rakan sejawatannya Paetongtarn Shinawatra pada majlis sambutan rasmi lawatan rasmi sulung beliau di Putrajaya, 16 Disember 2024. [Ihsan Kerajaan Thailand]

Malaysia mula memainkan peranan sebagai fasilitator dalam rundingan damai untuk wilayah Selatan Thailand secara rasmi sejak 2013, apabila Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika itu bersama Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra, mengumumkan pelantikan negara itu sebagai fasilitator dalam proses dialog keamanan antara kerajaan Thailand dan BRN.

Bagaimanapun, rundingan tersebut dihentikan setahun kemudian ekoran rampasan tentera di Thailand sebelum ia disambung semula pada 2019 dengan kehadiran BRN.

Proses rundingan damai itu turut mengalami beberapa gangguan akibat pandemik Covid-19, namun Malaysia kekal komited sebagai fasilitator bagi usaha perdamaian tersebut.

Ia disambung semula pada 2022 dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menghentikan keganasan sepanjang Ramadan.

Dalam rundingan pada September tahun yang sama ia turut berjaya kumpulan utama seperti Majlis Syura Patani (MARA Patani) yang sebelum disingkirkan oleh Thailand.

Dalam rundingan pada Februari lalu, Thailand diwakili oleh Chatchai Bangchuad, orang awam pertama yang dilantik sebagai ketua perunding baharu oleh Perdana Menteri Srettha Thavisin ketika itu, manakala bekas panglima tentera Malaysia, Zulkifli Zainal Abidin sebagai fasilitator Malaysia.

Chatchai yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha di Majlis Keselamatan Negara telah terlibat dalam rundingan damai itu sebelum Malaysia menjadi fasilitator rundingan itu pada 2013.

Dalam rundingan terakhir itu, beliau berjaya mendapatkan persetujuan BRN berhubung rangka kerja untuk proses damai yang dikenali secara rasmi sebagai JCPP.

Bagaimanapun, apabila bekas Perdana Menteri Srettha tersingkir, ramai pemerhati melihat ia bakal menjejaskan kelancaran rundingan damai memandangkan kerajaan Thailand perlu mencari ketua perunding baharu menggantikan Chatchai.

Malaysia pula melantik bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mohd Rabin Basir sebagai fasilitator yang baharu bagi proses dialog damai Selatan Thailand berkuat kuasa 1 Julai lalu.

241216-MY-Msia-Thai4jpg.jpg

Fasilitator Malaysia pada masa itu, Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bersama ketua perunding Thailand Chatchai Bangchuad dan ketua panel Barisan Revolusi Nasional Anas Abdulrahman pada sidang media di Kuala Lumpur, 7 Feb. 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Sementara itu, Penganalisis hubungan antarabangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd Ramlan Mohd Arshad berkata usaha menghentikan konflik antara beberapa kumpulan pemisah di Selatan Thailand dengan kerajaan bukan ‘tugas mudah’ kerana setiap pemimpin kumpulan di kawasan berkenaan tidak bersepakat.

“Malaysia memang sudah lama jadi orang tengah. Mungkin Anwar mahu mencuba kaedah baharu. Beliau lantik Thaksin sebagai penasihat, (jadi) saya rasa mungkin (ini) satu daripada gerakan strategi, tapi keberkesanannya kita kena tengok macam mana.

"Kalau silap, kita boleh kena balik (risiko)," ujarnya.

Jelas beliau kaedah yang boleh diusahakan Malaysia adalah memastikan semua kumpulan pemisah itu boleh ‘duduk semeja’ dan mengadakan perbincangan ke arah penyelesaian konflik.

Ditanya tentang risiko Malaysia akan hadapi sekiranya gagal menyelesaikan konflik itu, Mohd Ramlan mengakuinya dengan menegaskan ia mungkin menyaksikan seluruh sempadan ‘ditembusi’.

“Sempadan kita tiada zon penampan, (jadi) kemungkinan dia (kumpulan pemisah) masuk untuk larikan diri, sekali gus merisikokan keselamatan negara kita,” katanya.

Kepentingan peranan Malaysia

Semasa lawatan Paetongtarn ke negara jirannya Malaysia, Perdana Menteri Anwar pada sidang media bersama telah membuat pengumuman mengejut apabila memaklumkan mengenai pelantikan bapa Paetongtarn, Thaksin sebagai penasihat peribadinya untuk mempersiapkan Malaysia bagi pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Kita perlu memanfaatkan pengalaman negarawan seperti beliau,” kata Anwar.

Thaksin yang memerintah dari 2001 sebelum digulingkan pada 2006 menyokong tindakan tentera dalam peristiwa berdarah di Tak Bai, Narathiwat pada 24 Oktober 2004 yang mengorbankan 85 penunjuk perasaan terkorban.

Penglibatan Thaksin sebagai penasihat ketika Malaysia menerajui ASEAN tahun depan menambah dimensi baharu dalam landskap diplomatik serantau, walaupun beberapa pemerhati mempersoalkan tentang kemungkinan ia merumitkan proses damai ekoran dinamika politik Thailand yang kompleks.

Panitan Wattanayagorn, pakar hubungan antarabangsa dan hal ehwal keselamatan Thailand menyatakan bahawa Malaysia sangat penting untuk keselamatan Thailand kerana negara ini menjadi tuan rumah kepada pelbagai kumpulan dan gerakan.

Malaysia juga secara rasmi pernah berperanan sebagai penyelaras dengan kumpulan-kumpulan ini untuk beberapa kerajaan Thailand sebelum ini.

Jelas sekali, keamanan di tiga wilayah sempadan selatan sangat bergantung pada Malaysia, katanya.

“Paetongtarn kekurangan kesediaan dalam banyak aspek, terutamanya kepakaran. Masih tiada rancangan untuk dialog keamanan dan asas sokongan kerajaan semasa bukan di selatan.

"Dalam keadaan ini, sekiranya bekas Perdana Menteri Thaksin dilantik, beliau mungkin dapat mengisi kekosongan ini dalam kerjasama dengan Malaysia,” kata Panitan kepada BenarNews.

“Bagaimanapun, melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi dalam hal berkaitan ASEAN boleh menjadi pedang bermata dua jika tidak ditangani dengan berhati-hati.

“Jika terdapat kejelasan dan ketelusan bagi kepentingan negara dan rakyat Thailand, ini boleh membantu mengisi jurang pengetahuan dan kepakaran kerajaan semasa mengenai Malaysia.

"Sebaliknya, jika ia dilakukan tanpa pendekatan yang betul, hubungan antara kedua-dua negara boleh terjejas dan memberi kesan kepada kepentingan rakyat Thailand secara keseluruhan,” tambahnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.